Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Dalam entri sebelumnya saya sudah bagi sedikit sebanyak biodata isteri saya. Kali ini suka saya kongsikan pengalaman saya berkahwin dengan isteri saya yang telah memeluk Islam pada 8 haribulan mac tahun 2017 dihadapan pengurus pusat IIDAC (International Islamic Information and Daawah Centre) iaitu Muhammad Michael serta isterinya, Ameena (penterjemahan bahasa Thailand). Banyak saya belajar dengan Muhammad Michael. Lebih-lebih lagi mengenai kebahagian dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Juga beberapa nasihat dalam membimbing isteri saya dengan sabar dan baik. insyaAllah.

Muhammad Michael atau ramai yang mengenalinya dengan gelaran Mat Ghana yang berasal dari negara Ghana telah memeluk Islam dan tinggal di Kelantan selama lebih 20 tahun. Oleh itu, saya takde masalah untuk kecek kelate sepanjang pertemuan dengan Mat Ghana. English pun boleh sebab ramai pelancong luar negara yang berminat untuk mengenali Islam datang bertemu dengan Mat Ghana di IIDAC dan ada yang minta untuk mengunjungi Masjid Muhammadi yang berdekatan (1 minit je jalan kaki dari IIDAC).

Untuk makluman korang, IIDAC telah ditubuhkan dalam pertengahan tahun 2002. Ada satu ketika arwah tok guru Nik Abdul Aziz telah membuat satu lawatan mengejut ke pusat ini sebagai tanda sokongan penuh terhadap IIDAC. Di Kota Bharu, pusat ini lebih dikenali sebagai pusat memeluk agama Islam bagi bukan yang beragama Islam. Manakala salah satu objektif pusat ini adalah untuk mengajak penduduk setempat bukan beragama Islam serta pelancong dari luar negara untuk mengenali Islam dengan lebih rapat.

Seronok saya tengok kerajaan Kelantan bersungguh dengan saudara baru masuk Islam nih. Ada seminar aqidah, ada kelas iqra, ada kelas bahasa melayu, ada lawatan sambil belajar, ada jamuan berbuka puasa dan malah ada bantuan untuk saudara baru memulakan perniagaan. Mungkin ada lagi bimbingan dari pihak kerajaan Kelantan yang lain yang saya tidak tahu. Apa pun, semoga semua saudara baru masuk Islam dirahmati dan dilindungi oleh-Nya. Begitulah sedikit sebanyak pengalaman saya sepanjang urusan isteri saya.

Berikut Laman Media Sosial IIDAC: 

IIDAC merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan sumbangan umum serta saudara muslim yang berdedikasi sejak pusat ini ditubuhkan. Jika ada yang ingin menghulurkan bantuan. Sila hubungi pejabat IIDAC di talian 09-747 7824. Atau pergi tanya kat pejabat agama dibahagian yang berkenaan.

Wassalam

Fariz Izhan

Blog since 2010.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *